GEORGETOWN - Pelancong dari Jepun tidak lagi mempunyai masalah komunikasi selepas ini sekiranya terlibat dalam kecemasan atau kemalangan di negeri ini.

Ini kerana, satu risalah yang mengandungi tiga bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Jepun telah disediakan untuk kemudahan komunikasi antara polis dan pelancong dari negara matahari terbit itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, sebelum ini, berlaku masalah komunikasi di antara pelancong Jepun dan anggota polis dalam menerima laporan.

Menurutnya, idea risalah ini adalah hasil kerjasama antara polis Pulau Pinang dan Kedutaan Jepun di Pulau Pinang bagi menyelesaikan masalah komunikasi.

"Usaha ini adalah yang pertama dibuat di negeri ini sebagai tempat tumpuan pelancong.

"Risalah ini mempunyai empat bahagian iaitu komunikasi general dan tiga jenis kecemasan yang mungkin dihadapi pelancong iaitu kehilangan barang berharga, kecurian dan kemalangan.

"Pelancong hanya perlu menunjuk masalah mereka pada risalah ini dan ia akan melancarkan proses pengaduan.

"Bukan hanya menyenangkan polis, malah kepada pelancong itu sendiri kerana kebanyakkan pelancong dari Jepun tidak boleh berbahasa Inggeris," katanya kepada media.

Terdahulu, Thaiveegan dikunjungi Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Shinichiro Kanoya di pejabatnya di sini tadi.

Kunjungan itu bagi menyerahkan risalah komunikasi tersebut kepada polis untuk diedarkan di semua balai polis seluruh Pulau Pinang.

Tambahnya, sebelum ini, polis mengalami kesukaran dalam menerima laporan dari pelancong Jepun kerana mereka tidak mahir berbahasa Inggeris.

"Sebelum ini, ada beberapa kes yang mana, polis perlu menghubung pihak konsulat untuk mendapatkan jurubahasa.

"Ini kerana, polis itu tidak memahami bahasa Jepun dan pelancong itu pula, tidak boleh menggunakan bahasa lain melainkan bahasa Jepun sahaja.

"Oleh itu, dengan inisiatif ini, maka kesukaran itu boleh diatasi kerana puluhan ribu pelancong datang ke Pulau Pinang setiap tahun. Kita menjangkakan bilangan ini akan meningkat," katanya.

Menurutnya, risalah ini akan diletakkan di semua balai seluruh Pulau Pinang bagi menyenangkan urusan penerimaan laporan polis.

"Inisiatif ini amat baik dan mungkin boleh jadi contoh kepada konsulat negara lain untuk memudahkan pelancong berkomunikasi dengan polis. Jika mereka mahir berbahasa Inggeris, itu tak jadi masalah.

"Usaha ini dilihat amat positif kerana ia akan menyebabkan pelancong merasakan lebih selamat kerana mempunyai saluran komunikasi dengan pihak berkuasa," katanya.