KUALA KETIL - Benarlah kata pepatah, tidak kenal maka tidak cinta. Kata-kata itu tepat ditujukan kepada seorang guru agama di sini yang begitu dihormati masyarakat setempat.

Bagi masyarakat khususnya di sekitar Kampung Parit Panjang, Tembak dan sekitar, susuk tubuh Ustaz Din Morocco begitu disegani dan dihormati.

Mereka menjadikan guru agama itu sebagai tempat rujukan bukan sahaja ilmu agama, bahkan pelbagai urusan lain.

Nama Ustaz Din Morocco diberikan penduduk hasil pengalamannya melanjutkan pengajian di sana ketika usia 23 tahun.

Ustaz Din Morocco atau nama sebenarnya Ahmad Shahabudin Ibrahim dari Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin berkata, beliau melanjutkan pengajian di bumi Morocco (Maghribi) pada 1989.

"Saya mengaji di Universiti Qeydiyyat dalam bidang pengajian Islam dan pulang semula ke negara ini pada 1991," katanya.

Ustaz Din berkata, tahun sama beliau berkhidmat sebagai guru sandaran tidak terlatih di Sabah selama tiga tahun.

"Kemudian saya menyambung pengajian di Maktab Islam Cawangan Sabah di Kota Kinabalu pada 1994 untuk ambil sijil perguruan dan tamat pada 1997.

"Pada tahun 1997 saya ditugaskan di Kedah dan sekolah pertama saya mengajar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil, Kota Kuala Muda," katanya.

Katanya, kerana minat terhadap Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin di sini beliau menyewa di kampung itu sebaik pulang dari Sabah.

"Kemudian saya bina rumah sendiri di atas tanah lot dibeli pada tahun 2000," kata anak jati Kampung Sawa Kecil, Pendang ini.

"Hinggalah 2004 saya ditukar mengajar di SK Tembak berhampiran rumah dan pada 2012 bertukar ke SK Jemerli, Kuala Ketil hinggalah sekarang," katanya.

Dakwah sebelah malam

Ustaz Din berkata, sambil mengajar sejak 1997, beliau turut membahagikan masa mengajar kitab kepada masyarakat setempat di masjid.

"Siang saya mengajar di sekolah dan waktu luang di sebelah malam, saya gunakan untuk mengajar kitab serta memenuhi undangan kuliah di mana-mana masjid," katanya.

Katanya, hingga hari ini masanya di sebelah malam diisi dengan mengajar kitab di sekitar Baling dan Sik.

"Antaranya ialah di Masjid Charok Beras, Surau Barakah Tembak, Surau Kampung Padang Pulai, Surau Hj Salleh Guar Tinggi dan lain-lain.

"Kuliyah saya setiap malam Ahad hingga hari Khamis," katanya.

Cabaran dakwah era gajet

Ustaz Din berkata,  gajet yang digunakan meluas dalam kalangan masyarakat termasuk kanak-kanak menjadi cabaran besar kepada para pendakwah.

Menurutnya, golongan muda lebih gemar bermain gajet daripada mendengar ilmu agama di masjid.

"Kebanyakan yang menghadiri kuliah ialah golongan veteran berumur 50-an dan ke atas.

"Usia bawah hingga 20-an kita tengok sangat-sangat kurang datang mendengar kuliah. Habis solat Maghrib orang lain dengar kuliah, depa main gajet," katanya.

Katanya lagi, sebelum kewujudan gajet, jumlah kehadiran masyarakat mendengar kuliah paling kurang berjumlah 80 atau 70 orang.

"Tetapi kini keadaannya sudah berubah, ini cabaran cukup besar kepada para pendakwah," katanya.

Katanya lagi, adab berguru juga semakin hilang apabila generasi muda lebih gemar mencari sumber agama melalui internet.

"Sedangkan mengambil ilmu secara berdepan mulut ke mulut itu barakah," katanya.

Perlukan dana RM1.1 juta

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin (SRIRM) memerlukan RM1.1 juta bagi melengkapkan binaan asrama lelaki dan wanita.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir SRIRM berkata, permintaan waris untuk menghantar anak ke situ semakin meningkat.

"Jumlah keseluruhan murid ialah 352 orang manakala jumlah murid di asrama ialah seramai 80 orang.

"Pendaftaran murid dijangka semakin bertambah apabila sekolah dibuka kembali minggu depan," katanya

Menurutnya, pihak sekolah menyasarkan asrama dua tingkat itu siap pada penghujung 2019 dan ia dapat menampung seramai 400 penghuni.

"Sekarang masih tak sampai 40 peratus asrama ini dibina. Pihak sekolah telah habiskan sebanyak RM80,000 untuk siapkan bangunan ini," katanya.

Ustaz Din berkata, pihak SRIRM berhasrat melahirkan golongan celik agama yang dapat menjadi pemimpin pada masa akan datang.

"Suatu hari nanti depa nak kerja apa pun kerjalah, jurutera, pensyarah atau akauntan ka, tapi Islam tu letak di depan sekali," katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui Maybank   di nombor akaun 552040103466 atau Bank Islam di nombor akaun 02048020030361 di nombor akaun SRIRM atau hubungi Ustaz Din di talian 013-4400403 atau bendahari, Ustaz Mohd Nordin Md Isa di talian 010-5264572.