YAN - Jambatan Pulau Bunting masih lagi diceroboh oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab.

Penyelaras Dun Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, pencerobohan masih lagi berlaku meskipun batu konkrit telah diletakkan.

Katanya, batu berkenaan diletakkan sebagai penghalang laluan bagi mereka yang ingin masuk ke jambatan berkenaan.

“Kita bukan saja-saja sekat untuk mereka masuk, tetapi semua ini dilakukan atas sebab tertentu.

“Ia juga berkait rapat dengan soal keselamatan kerana jambatan itu tidak pernah diselenggara setelah siap pembinaannya sejak beberapa tahun dahulu,” katanya.

Menurut Zahran, lokasi jambatan Pulau Bunting berkenaan menjadi tarikan utama kepada golongan kaki pancing.

“Lokasi di atas jambatan boleh dikatakan port panas untuk memancing, namun begitu tahap keselamatan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Tambah Zahran, semua pihak perlu memberi kerjasama yang baik bagi memastikan tiada sesiapa yang boleh menceroboh ke kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku seperti kemalangan dan sebagainya oleh itu penutupan terus laluan ke jambatan berkenaan adalah keputusan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, jambatan Pulau Bunting ditutup sepenuhnya kepada orang awam mulai 22 November lalu disebabkan masalah keselamatan.

Keputusan diambil selepas mesyuarat penyelaras Dun bersama pemilik jambatan berkenaan iaitu SKS Ventures Sdn Bhd, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Yan dan polis pada 19 November lalu.