SUNGAI PETANI - Harga kasut sekolah hitam masih terkawal serta tiada kenaikan mendadak seperti yang didakwa sebelum ini.

Exco Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, R Summugam berkata, pemantauan yang dijalankan mendapati harga kasut sekolah warna hitam masih terkawal dan berpatutan.

"Selepas saya dapat aduan kasut hitam harga sangat tinggi, saya meminta kerjasama pengarah KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) bersama pasukan membuat pemeriksaan di kawasan masing-masing dan saya sendiri ada membuat pemeriksaan mendapati kasut hitam ada yang berharga RM12 sepasang dan lagi satu ada kasut diperbuat dari kain harga RM17 sahaja.

"Mungkin kasut berjenama yang dimaksudkan harga diletakkan lebih tinggi," katanya ketika hadir Program Kembali ke Sekolah anjuran Econsave Bandar Puteri Jaya Sungai Petani.

Hadir sama, Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar.

Semalam, Exco Pendidikan, Dr Salmee Said memaklumkan pihaknya menerima banyak aduan kenaikan harga kasut hitam malah ada ibu bapa merungut harga kini mencecah RM40 sepasang sehingga membebankan ibu bapa pelajar.

Dalam pada itu, Summugam berkata, usaha Econsave menyediakan baucar RM100 kepada 30 penerima dari Dun Bukit Selambau merupakan satu usaha murni bagi mengurangkan beban golongan miskin dan asnaf.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, program berkenaan melibatkan Dana Econsave Prihatin yang membabitkan sumbangan baucar bernilai RM9,000 untuk 90 penerima sekitar utara.

Penerima, Rosilah Shuib, 58, berkata, bantuan yang diperoleh untuk anaknya, Nor Alia Abd Rahman, 9, amat membantu dalam membuat persediaan persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Kasut hitam ada dah tapi hari ini nak cari kasut putih untuk Sekolah Kafa dan alat tulis," katanya.

Katanya, dengan pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak menentu, pasti sukar bagi golongan sepertinya untuk membuat persiapan persekolahan buat anak-anak.