BALING - Orang ramai tidak perlu panik kononnya Lembaga Tabung Haji ( TH) akan dipantau menteri bukan Islam, Lim Guan Eng walaupun institusi itu akan dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bermula Januari depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, isu seperti itu tidak timbul sama sekali dan dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Awat, Guan Eng sorang saja ka kat situ? ( Kementerian Kewangan), Amiruddin tak dak ka tang tu? Amiruddin nak tengok saja?

"Jadi tak timbul sebenarnya, tetapi ini untuk  pastikan TH ditadbir urus dengan telus dan baik mengikut tata kelola kewangan BNM," katanya pada sidang media di Dewan Badminton Kupang, di sini hari ini.

Hadir sama, Penyelaras Parlimen Baling, Mohd Taufik Yaacob; Penyelaras Dun Kuala Ketil, Mohamad Sofee Razak; Penyelaras Dun Kupang, Johari Abdullah dan Penyelaras Dun Bayu, Datuk Sufian Ahmad.

Terdahulu, Amiruddin menyampaikan sumbangan kepada pakaian sekolah kepada 300 murid dalam program Kembali ke Sekolah.

Beliau berkata, di bawah BMM, dua fungsi utama TH iaitu pengurusan haji dan subsidi keuntungan akan bertambah lebih baik.

Menurutnya, BNM mempunyai trek rekod yang baik dalam menguruskan kewangan di mana ia akan bertindak dengan menegur, memberi amaran dan sebagainya.

"Oleh kerana TH ada deposit daripada orang ramai dan dilaburkan dan sebagainya, jadi kita perlu keuntungan supaya sebahagiannya digunakan untuk subsidi mereka nak pergi mengerjakan haji kali pertama.

"Keuntungan itu juga diberikan dalam bentuk hibah kepada pendeposit, sebab itu TH harus diurus tadbir dengan tata kelola yang baik," katanya.

Menurutnya, seorang jemaah haji hanya membayar RM9,980 berbanding kos sebenar RM23,000.

"RM13,000 mai mana? RM13,000 ini mai daripada subsidi, keuntungan yang TH buat. Ini pun besar," katanya

Amiruddin berkata, BNM tidak akan mencampuri urusan TH dalam mengawal selia jemaah haji.

Pada 17 Disember lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh memaklumkan Kabinet memutuskan BNM kekal menyelia TH seperti mana diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof pada 10 Disember.