JITRA - Anak sulung kepada Ustaz Radzi, Mohd Firdaus Mohd Radzi, 25, akan meneruskan dakwah Allahyarham ayahnya seperti yang diamanahkan.

Mohd Firdaus berkata, dia juga akan berpegang pada nasihat ayahnya agar menjaga solat, mempersiapkan bekalan untuk akhirat dan banyakkan beribadat.

Katanya, ayahnya jarang berdakwah hingga ke kualau Lumpur melainkan menerima jemputan.

"Dulu masa tinggal di sebelah sini (tanah besar) dia rajin juga berdakwah merata tempat, tapi sejak berpindah ke Langkawi dia lebih tertumpu di sana," katanya ketika ditemui di Kampung Kemunting di sini, hari ini.

Menurutnya, ayahnya ada mengajaknya untuk turut serta ke Kuala Lumpur, tetapi Mohd Firdaus terpaksa menolak kerana mempunyai jadual kuliah yang tidak dapat dielakkan di Langkawi.

"Ketika terima panggilan daripada adik, saya sangat terkejut dan seakan tidak percaya ketika dikhabarkan mengenai kematian ayah.

"Masa adik bagitau tu, saya marah dia, saya harap dia main-main, tapi tak sangka rupanya betul ayah kami dah tak dak," katanya.

Sementara itu, isterinya, Zaimah Mokhtar, 46,berkata Allahyarham suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum berangkat ke Kuala Lumpur malah ceria melayan anak-anak seperti biasa.

"Dia ke Kuala Lumpur Khamis lepas, sepatutnya saya ikut juga, tapi sebab dia pergi dengan jemaah artis tiga hari, jadi saya tak ikut. Cuma dia bawa tiga anak kami bersama," katanya.

Tambahnya, suaminya menghidapi beberapa penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang tetapi semuanya dalam keadaan terkawal.

"Masa kejadian tu dia tak sakit apa pun, cuma dia penat sikit la, dia sesak dada," katanya.

Jenazah Ustaz Radzi atau nama sebenarnya Mohd Radzi Abdul Hamid,55 tiba di kediaman kakaknya di Kampung Kemunting di sini kira-kira jam 6.20 petang.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Sharifah Fatimah di sini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kemunting di sini selepas solat Isya.

Bekas penyanyi kumpulan rock Melissa itu meninggal dunia ketika menjayakan persembahan di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur jam 10.30 malam semalam.

Ketika itu, Allahyarham tampil dengan lagu pertama berjudul Kami Mat Rock, sebelum tiba-tiba rebah di atas pentas.