KUALA TERENGGANU - Hukuman penjara boleh dikenakan kepada suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak seperti yang diperintahkan mahkamah syariah selepas perceraian.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, langkah tersebut yang dipanggil pelaksanaan perintah diambil berikutan sikap ambil mudah segelintir bekas suami.

"Kita terima banyak aduan daripada kaum wanita yang mengatakan tidak diberikan keadilan oleh bekas suami dari sudut nafkah yang diputuskan pihak mahkamah syariah.

"Jadi, hukuman ini adalah demi membela nasib wanita yang ditindas sesetengah bekas suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab membayar nafkah selepas bercerai.

"Mengejutkan sebenarnya, apabila ramai dalam kalangan suami yang didapati culas membayar nafkah sebelum ini, mampu melunaskan 'hutang' mereka kepada bekas isteri hanya dalam tempoh sehari selepas dimaklumkan akan dipenjara," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Kali Kedua Tahun 2018 di Bilik Gerakan, Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sebelum ini sudah ramai suami yang dipenjarakan kerana culas membayar nafkah seperti diperintahkan mahkamah, tetapi pihak mahkamah tidak uar-uarkan perkara itu.

"Dalam tempoh empat tahun bermula 2012 sehingga 2016, enam bekas suami dipenjarakan kerana ingkar perintah mahkamah.

"Selain itu, sebanyak 148 kes sedang berjalan bagi tujuan penguatkuasaan serta pelaksanaan perintah dan jika didapati liat membayar nafkah, hukuman penjara akan dikenakan," katanya.

Bagaimanapun, masalah pengabaian nafkah anak bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah seluruh negeri.

Jelasnya lagi, melihat kepada pertambahan kes berkenaan setiap tahun, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008.

"BSK ini berfungsi untuk memantau, mengendali kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah yang tidak dipatuhi bapa atau bekas suami.

"Selain itu, kita turut menyalurkan dana pendahuluan dan bantuan pendahuluan nafkah kepada golongan ibu yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah ini," jelasnya.

Tambahnya, bagi memudahkan orang ramai, BSK kini memperkenalkan sistem e-patuh yang mana individu mempunyai tunggakan bayaran nafkah selepas mendapat perintah boleh membuat aduan secara atas talian dengan melayari http://jkstr.jksm.gov.my/epatuh.