KUALA NERUS - Jawatankuasa Pengurusan Tiket Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diminta untuk membuat laporan penuh berhubung penjualan tiket yang dibuat menerusi persatuan bola sepak di setiap daerah kerana tidak sampai kepada penyokong hingga mencetuskan pelbagai kekecohan hari ini.

Timbalan Presiden PBSNT,  Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelaksanaan dengan memberi 1,000 keping tiket kepada setiap persatuan bola sepak daerah baharu diperkenalkan sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak, Sabtu ini, selepas mendapat cadangan daripada pelbagai pihak.

Katanya lagi, langkah itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan di SSINS, Kuala Terengganu yang bertindak sebagai pusat pembelian tiket sama ada bagi perlawanan 'away' dan 'home' melibatkan pasukan Terengganu, selain pembelian atas talian.

"Kita akan minta jawatankuasa (jualan tiket) membuat laporan penuh berhubung kaedah jualan tiket melalui persatuan-persatuan bola sepak daerah untuk dijual kepada penyokong di semua daerah di Terengganu.

"Ini kerana hasrat asal kita adalah untuk memastikan penyokong-penyokong di semua daerah berpeluang untuk membeli tiket tanpa perlu ke bersesak di pusat jualan di SSINS, Kuala Terengganu.

"Kita mengambil pendekatan ini selepas mengambil kira pelbagai perkara, termasuk selepas mendengar cadangan daripada wakil-wakil kelab penyokong dan persatuan bola sepak semua daerah,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan pasukan Terengganu Football Club (TFC) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, hari ini.

Menurut Hishamuddin lagi, pihaknya memandang serius kekecohan yang berlaku dan kajian semula terhadap kaedah penjualan tiket akan diteliti sebaiknya.

Dalam perkembangan sama, Hishamuddin turut meminta orang ramai tidak mengaitkan isu penjualan tiket melibatkan perlawanan penting itu dengan mana-mana parti politik.

"Kalau ada yang kata kita (kerajaan Terengganu) bermain politik ia tidak benar sama sekali, sebaliknya kita membawa bendera hitam dan putih iaitu bendera Terengganu.

"Bagi pihak kerajaan negeri juga saya ingin memohon kemaafan atas insiden melibatkan pengagihan tiket ini dan diharap ia tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong berasak beli tiket final Piala Malaysia ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Tidur depan kaunter pun tak dapat tiket' ]