HULU TERENGGANU - Empat kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tersesat lebih 15 jam sejak petang semalam, di Hutan Simpan Mizan Felda Mengkawang, di sini, di temui selamat, pagi tadi.

Tiga daripada mereka ditemui jam 10.25 pagi kira-kira enam kilometer daripada lokasi kenderaan diparkir mereka dan terdahulu, seorang mangsa dijumpai jam 9.40 pagi di sebuah warung di Kampung Baru Lubuk Periuk.

Mangsa terlibat ialah Nor Muslim Mohd Dom,51; Mohd Amirul Ismail serta Muhammad Syazwan Wahab yang masing-masing usia 30 tahun dan Ahmad Khairi Azman Mohamed, 29.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan baik namun keletihan dan telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu.

"Lebih kurang jam 8 pagi semalam, lapan kakitangan TNB masuk ke kawasan hutan setelah ditugaskan membuat pemeriksaan puncak TNB (Tower Top Inspection). Empat daripada mereka keluar lebih awal.

"Bagaimanapun empat mangsa terlibat telah tersasar dari laluan sebenar dan tersesat sebelum salah seorang daripada mereka terpisah daripada kumpulan.

"Nor Muslim ditemui di sebuah warung kopi, manakala tiga yang lain ditemui enam kilometer daripada kenderaan digunakan mereka untuk ke kawasan hutan sebelum berjaya dibawa keluar pasukan penyelamat sekitar jam 12 tengahari," katanya.