MARANG - Situasi banjir termenung di Kampung Padang Garam di Pasir Putih di sini, akan menyebabkan pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh dibuka seminggu lagi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kol (PA) Che Adam A Rahman menjangkakan banjir di situ hanya akan surut dalam masa tujuh hingga sembilan hari lagi.

Buat masa ini, katanya, Kampung Padang Garam di daerah ini merupakan satu-satunya kawasan terjejas banjir dan masih belum surut sehingga hari ini.

Che Adam (kiri) menemui mangsa yang ditempatkan di SK Pasir Putih di sini.

Menurutnya, kawasan berkenaan berkeluasan hampir 4 hektar dan dinaiki air setinggi sekitar 0.3 meter dengan mendapan air yang tidak dapat mengalir keluar.

“Berdasarkan tinjauan, kita tidak benarkan penduduk balik jika belum surut sepenuhnya kerana kita tidak tahu apa yang berada di dalam air ketika ini sama ada berbahaya atau tidak.

“Sebahagian besar kawasan ini adalah kawasan pertanian dan penyelesaian isu ini akan dibincangkan di peringkat pejabat daerah untuk dibawa ke peringkat negeri.

“Pihak berwajib akan mencari jalan paling sesuai dalam mengekalkan kelestarian kawasan ini serta mengambil kira keadaan penduduk kerana akhirnya, penyelesaian itu diharap mendatangkan manfaat kepada penduduk dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau melawat 35 mangsa terdiri daripada 12 keluarga yang ditempatkan di SK Pasir Puteh ketika pusat pemindahan lain di Terengganu telah ditutup kerana semua mangsa dibenarkan pulang.