KUALA NERUS - Luar biasa. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai kehebatan Por Hui Ling, 11, apabila berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)  tahun ini yang diumumkan kelmarin.

Pelajar tunggal bukan Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring, itu memperoleh semua A dalam mata pelajaran Ulum Syariah, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Penghayatan Cara Hidup Islam, Adab, Amali Solat, Sirah dan Al-Quran.

Anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan Por Kim Sin, 62, dan Yeap Bee Fai, 43, itu juga bukan sahaja dapat membaca, menulis jawi dengan begitu baik tetapi juga boleh membaca al-Quran.

"Walaupun tidak mempunyai al-Quran di rumah tetapi saya berpeluang membacanya ketika berada di sekolah.

"Ia sangat seronok sebenarnya kerana kita dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan berbeza," katanya.

Menurut Hui Ling, meskipun dilahirkan sebagai bangsa Cina dan menganut agama Buddha, namun ia bukan satu kesalahan buatnya untuk mempelajari tentang agama lain bagi menambah pengetahuan.

Ditanya mengenai minatnya untuk mengikuti kelas yang biasanya diambil oleh murid Melayu dan beragama Islam, jelas Hui Ling, ibu dan ayah merupakan pendorong utamanya untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

"Saya mula mengikuti kelas Kafa ketika berada di tahun dua selepas mendapat dorongan ibu bapa yang mahu saya mempelajari sesuatu yang baharu.

"Tidak dapat dinafikan pada awalnya agak susah untuk saya kuasai, namun dengan tunjuk ajar guru-guru dan rakan saya kini dapat membaca dan menulis tulisan jawi dengan baik," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Desa Jaya, di sini, semalam.

Menurut murid yang bakal memasuki tahun enam menjelang sesi persekolahan tahun depan itu lagi, keputusannya untuk mengikuti pendidikan Kafa itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dengan murid-murid Melayu yang lain.

"Selain saya, abang yang kini belajar di Sekolah Menengah Sains Setiu, Por Jie Hua, 14, juga turut mengikuti kelas Kafa dan mendapat keputusan 5A3B  tiga tahun lalu.

"Malah, adik bongsu Por Jing Yi, 6, juga dilihat turut meminati tulisan jawi," katanya yang turut mengajar adik lelaki bongsu yang kini merupakan murid pra sekolah di sekolah yang sama.