BESUT - Pejabat Imigresen Besut dinaik taraf sebagai pejabat pengeluar pasport bermula 9 Disember lalu bagi kemudahan orang ramai mendapatkan dokumen tersebut dalam tempoh singkat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata,  keputusan itu diambil apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melihat permohonan orang ramai memohon pasport antarabangsa di daerah ini antara yang tinggi selepas Kuala Terengganu.

Menurutnya, sehubungan itu pejabat Imigresen Besut telah menyediakan kemudahan memohon dan memperbaharui pasport tersebut yang dapat disiapkan hanya tempoh satu jam selepas permohonan.

“Ini menjadikan Besut merupakan daerah ketiga di negeri ini mempunyai kemudahan itu selepas Kuala Terengganu dan Dungun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport Besut di Bangunan Persekutuan, Kampung Raja, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen Terengganu, Rahim Hanaffi.

Mustafar berkata lagi, pejabat di sini sebelum ini hanya sebagai pejabat penerima permohonan sahaja iaitu setiap permohonan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk disiapkan.

Menurutnya, langkah ini adalah untuk kemudahan masyarakat tanpa perlu menunggu lama atau pergi ke lokasi jauh untuk memohon pasport.

“Kita mendengar denyut nadi masyarakat  dan kemudahan ini boleh dinikmati oleh masyarakat daerah daerah berdekatan seperti Setiu dan Pasir Putih, Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu beliau menggalakkan rakyat agar memanfaatkan kemudahan permohonan memperbaharui pasport antarabangsa atas talian menerusi portal MyOnlinePasport.

Kata beliau, kemudahan itu telah dimanfaatkan lebih 10,000 pemohon sejak ia dilancarkan pada September tahun lalu.

“Pemohonan pembaharuan pasport menerusi MyOnlinePasport lebih mudah dengan segala urusan termasuk memuatnaik gambar dan pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.

"Kutipan (pengambilan) pasport terbabit boleh dilakukan di cawangan terdekat dalam tempoh singkat iaitu antara 10 minit dan 15 minit sahaja selepas selesai proses pengesahan.

"Ia juga menjimatkan masa tempoh menunggu selain merupakan inisiatif mengurangkan kesesakan di pejabat cawangan Imigresen," katanya.