DUNGUN - Seorang nenek berusia 74 tahun yang sebelum ini tinggal bersendirian di sebuah pondok usang dan buruk di kampung Kolam akhirnya dipindahkan ke penempatan lebih selesa.

Rakiah Ismail yang juga pemegang kad pengenalan pemastautin tetap dipindahkan hasil kecaknaan dan keprihatinan pemimpin setempat termasuk pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telaga Mas dan Adun Paka, Satiful Bahri Mamat.

Warga emas yang berasal dari Kemboja itu sudah bertahun menetap di rumah yang layak dianggap pondok uzur dan buruk itu.

Difahamkan juga, Rakiah tidak mempunyai anak dan suami tetapi ada anak saudara yang sering membantu serta memberi perhatian.

Pengerusi MPKK Telaga Mas, Mazlan Ali berkata, wanita kurang bernasib baik itu dipindahkan ke sebuah rumah PPRT di Telaga Mas.

Menurutnya, dengan bantuan sebanyak RM 10 000 daripada Adun Paka, rumah PPRT yang tidak berpenghuni di kampung itu dibaik pulih termasuk dilakukan kerja pendawaian elektrik dan dimasukkan bekalan air.

"Nenek ini sudah lama tinggal di rumah usang di kampung Kolam dan kediaman itu juga diberikan kerajaan terdahulu.

"Memandangkan sudah terlalu lama, rumah itu usang dan kelihatan seperti boleh roboh bila-bila masa sahaja.

"Oleh itu, kita mengambil inisiatif untuk menempatkan nenek ini di kediaman lebih selesa dan selamat," katanya.

Kata Mazlan, walaupun tinggal bersendirian, kehidupan Rakiah masih dipantau oleh anak saudaranya yang juga tinggal di Paka.

"Apabila waktu malam, Rakiah akan tidur di rumah anak saudaranya itu demi keselamatan.

"Sekarang dia boleh menjalani kehidupan lebih baik apabila berpindah di rumah PPRT sejak tiga hari lalu, "katanya.

Sementara itu, Satiful Bahri turut berterima kasih kepada pihak MPKK Telaga emas yang prihatin terhadap masalah warga emas itu.

"Sudah sekian lama nenek ini tinggal di gobok buruk di kawasan terbiar.

"Hasil kecaknaan masyarakat khususnya MPKK, dia dapat dibantu dan menjalani kehidupan lebih baik," katanya.