SEBERANG TAKIR - Masalah sistem perparitan yang tidak sempurna dilihat antara faktor yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa kampung di sini.

Pegawai Penyelaras Dun Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu perlu ditangani sebaiknya supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Katanya, tidak dinafikan pihak yang berkenaan sudah membaiki sistem perparitan di beberapa lokasi, namun ia belum mencukupi.

“Jadi, kita lihat dan akan berbincang dengan pihak berkenaan bagi mencari penyelesaian segera berhubung kejadian banjir kilat yang sering berlaku ini.

“Ini kerana, kita banyak mendapat aduan daripada mangsa berhubung masalah banjir kilat yang dihadapi mereka,” katanya ketika membuat tinjauan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini.

Mohd Fazil berkata, selain berdepan ancaman banjir kilat, penduduk juga terpaksa melalui banjir ‘termenung’ yang mengambil masa lama untuk pulih.

“Banjir termenung ini berlaku disebabkan air tidak dapat mengalir kerana masalah sistem perparitan,” katanya.