KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) mencatatkan kutipan zakat sebanyak RM137 juta sehingga 19 Disember ini dan menyasarkan sebanyak RM140 juta dapat dikumpul sehingga akhir tahun 2018.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, zakat pendapatan paling banyak diperoleh iaitu RM62 juta diikuti zakat perniagaan RM38 juta dan seterusnya, zakat wang simpanan (RM22 juta), zakat fitrah (RM6.3 juta), zakat harta (RM5.7 juta), zakat emas dan perak (RM681,240.12), zakat tanaman (RM352,534.10) dan zakat ternakan (RM105,748.00).

Dari segi agihan pula sebanyak RM181 juta telah diberikan kepada pelbagai golongan seperti fakir (RM20 juta), miskin (RM70 juta), amil (RM15 juta), mualaf (RM7.4 juta), al-Riqab (RM1.3 juta), al-Gharimin (RM444,232.40) dan fisabilillah (RM64 juta) dibelanjakan dalam tempoh sama.

“Perbelanjaan kepada fisabililah juga antara yang tinggi iaitu untuk pendidikan, sebanyak RM49 juta malah dijangka untuk tahun depan, sebanyak RM50 juta akan diperuntukan untuk pendidikan sahaja.

Osman Muda

“Sebenarnya agihan ini melebihi pendapatan sekarang, sebab itu Maidam kena kerja keras untuk memberi pulangan baki kepada mereka yang layak,” katanya kepada media sempena Majlis Penyampaian Pakaian Seragam Sekolah Kepada Penghuni Anak Yatim Asrama Darul Akhyar, Batu Rakit, di sini.

Sumbangan yang disampaikan Osman kepada 105 orang pelajar itu adalah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada syarikat Pelaburan Hartanah Berhad dan Sogo KL.

Osman berkata, pelajar menerima sumbangan berupa pakaian sekolah iaitu dua pasang pakaian beserta sepasang kasut.

Sementara itu, dalam masa sama, Osman berkata, peruntukan sebanyak RM200,000 diluluskan bagi membina sebuah lagi dewan asrama di Asrama Darul Akhyar sebagai memberi kemudahan yang lebih selesa kepada mereka.

Kemudahan itu merangkumi dewan yang akan dijadikan kelas tuisyen dan juga kelas agama khususnya pada waktu malam di samping menambah baik peralatan lain di asrama terbabit.

“Kita akan tukar tilam, katil, membaik pulih bilik air dan lain-lain supaya pelajar lebih selesa dan seronok berada di asrama,” katanya.