KUALA TERENGGANU - Sistem kutipan sampah menggunakan sistem kod (smartbin core) yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Kemaman menerusi kumpulan MP-Tec berpotensi mengatasi masalah sampah terbiar.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk A Rahman Yahya berkata, sistem itu tidak mustahil akan diguna pakai di negeri ini bagi mengatasi aduan berkenaan masalah pungutan sampah oleh pihak kontraktor.

"Menerusi sistem ini, setiap tong sampah akan mempunyai kod yang boleh diimbas setiap kali proses pungutan sampah dilakukan.

"Sistem ini dilihat efisien, praktikal dan dapat membantu mengenal pasti tong sampah di mana-mana kawasan yang masih belum dikutip. Ia bagi mengelak longgokan sampah terlalu lama sekali gus mampu mengelak daripada mengganggu persekitaran dan orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dalam pertandingan itu, Majlis Perbandaran Kemaman menerusi kumpulan MP-Tec berjaya merangkul Anugerah Yang Berhormat (YB) SUK dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan dan piala iringan.

Selain itu, majlis perbandaran berkenaan menerusi kumpulan GTO turut merangkul tempat ketiga bagi Anugerah Khas Jabatan Inovasi dengan membawa pulang RM7,000 berserta piala iringan.

Pertandingan kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 21 daripada 148 jabatan menerusi inovasi yang dihasilkan bagi membantu penjimatan kos, tempoh masa seterusnya membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat negeri ini.

Penilaian panel hakim terhadap inovasi yang dihasilkan oleh setiap jabatan merangkumi dua bahagian iaitu dokumentasi sebanyak 50 peratus dan persembahan (50 peratus) selain mengambil kira potensi pengembangan projek.

Tidak ketinggalan, Jabatan Kehakiman Syariah menerusi kumpulan Magnificient juga memperoleh tempat pertama bagi kategori Anugerah Khas Jabatan Inovasi melayakkan mereka membawa pulang RM7,000 berserta piala iringan.

Kumpulan itu mempertaruhkan inovasi sistem pendaftaran kes Sulh secara online (Book MySulh) yang mendapat Gold Award dalam pertandingan Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) pada Program International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Singapura yang berlangsung 22 hingga 25 Oktober lalu.

Manakala, tempat kedua bagi kategori itu dimenangi kumpulan Panther daripada Majlis Perbandaran Setiu dan layak membawa pulang RM7,000 berserta piala iringan.