KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merekodkan nilai rampasan sebanyak RM601,419 bagi tempoh Januari hingga semalam.

Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jumlah itu meliputi 36, 295 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh Terengganu.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 504 kes tindakan dan RM203, 800 denda dikenakan ke atas peniaga yang didapati melanggar undang-undang ditetapkan.

"Daripada jumlah itu, daerah Kemaman mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM330,186 dengan membabitkan 6,603 pemeriksaan.

"Diikuti Kuala Terengganu dengan nilai rampasan sebanyak RM152,590, Besut, RM116,875 dan Dungun, RM1,767," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia di Pasaraya Xiri di sini, hari ini.

Sementara itu, sebanyak 11 barangan disenaraikan dalam skim kawalan harga musim perayaan Krismas yang bermula pada hari ini hingga Khamis depan.

"Senarai itu termasuk ayam hidup, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, tomato dan telur ayam,"katanya.