KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersikap terbuka dengan mana-mana organisasi untuk bekerjasama dalam bentuk penajaan dan sebagainya.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menyedari kepentingan NGO dan juga syarikat-syarikat swasta dalam membantu pembangunan negeri khususnya Terengganu menyebabkan kerajaan negeri menubuhkan portfolio khusus iaitu exco badan bukan kerajaan (NGO) dalam pentadbiran negeri.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri sangat mengalukan penglibatan syarikat gergasi, Repsol Oil and Gas Malaysia Limited yang turut sama membantu Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman (Karyawan Kreatif) untuk kepentingan bersama di antara rakan media dan Repsol.

"Saya juga menyeru kepada syarikat-syarikat lain supaya mengambil langkah sama sepertimana Repsol dan kepentingan itu mungkin susah untuk kita lihat dalam masa singkat tetapi untuk jangka panjang ia sangat membantu,” katanya kepada pemberita sempena Media Night Repsol 2018, di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Dun Terengganu, Yahaya Ali; Ketua Pihak Perhubungan Repsol Oil and Gas Malaysia Limited, Ahmad Fakhrurrazi Arshad; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman dan Presiden Karyawan Kreatif, Nik Mohd Zaid Nik Salim.

Dalam majlis itu, tetamu yang hadir turut menghadiahkan al-Fatihah kepada anggota bomba iaitu wira negara, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, Isnin lalu akibat mengalami kecederaan parah setelah diserang susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lepas.

Ayat suci itu turut dihadiahkan kepada enam anggota bomba yang lemas ketika menjalankan tugas ketika operasi mencari dan menyelamat remaja 17 tahun di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong, pada Oktober lalu.

Sementara itu, sebanyak 50 kit bantuan banjir daripada Repsol diserahkan kepada APM Terengganu selaku pengurusan bencana di negeri berkenaan.