DUNGUN - Seorang cucu terkilan apabila segala kelengkapan sekolah yang dibeli datuknya musnah apabila kediaman mereka di kampung Kuala Abang, terbakar, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, rumah  yang disewa Hanifah Abdullah bersama isteri dan cucunya, Ilham Iskandar Mohd Khairul, 9, tiba-tiba sahaja terbakar.

Ilham berkata, datuknya bersusah payah membeli pakaian sekolahnya tetapi semuanya hangus terbakar.

"Atuk susah payah kumpul duit untuk beli baju sekolah saya tapi sekarang semuanya hangus.

"Atuk berhabis RM300 untuk beli baju, seluar, kasut, buku dan beg sekolah.

"Saya sudah larang atuk supaya tidak bersusah payah membeli barangan sekolah baharu kerana atuk tiada duit.

"Nanti sekolah buka, saya nak minta kebenaran cikgu untuk pakai pakaian biasa ke sekolah," katanya.

Kata kanak-kanak itu, sewaktu kejadian mereka tiga beranak tiada di rumah kerana ke Paka.

"Sewaktu kebakaran, saya bersama datuk dan nenek nengutip tayar terpakai di Paka. Atuk dan nenek kutip tayar untuk dijual kepada pekebun.

"Tiba-tiba dapat panggilan rumah kami terbakar dan sewaktu dalam perjalanan van buruk atuk pula rosak.

"Ada penduduk datang ambil kami tetapi setibanya di rumah semuanya sudah terbakar," katanya.

Manakala, Hanafiah berkata, mereka kini hilang tempat tinggal tetapi bernasib baik kerana tuan rumah membenarkan tinggal sementara di rumah sebelah.

"Saya tiada tanah atau rumah sendiri dan menyewa di sini dengan bayaran RM200 sebulan.

"Saya menjaga Ilham selepas ibu bapanya berpisah dan sekarang saya perlu mencari wang lain untuk membeli semula kelengkapan sekolahnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Mohamad berkata, kebakaran membabitkan kemusnahan 100 peratus.

"Kami terima panggilan kecemasan jam 4.25 petang dan bergegas ke lokasi.

"Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi itu dan api dapat dikawal serta dipadam sepenuhnya.

"Punca dan kerugian sebenar masih dalam siasatan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya.