KUALA TERENGGANU - Seorang buruh tergamak mengambil kesempatan mencabul anak jirannya yang sedang tidur berseorangan di sebuah rumah di Kampung Banggol Durian, Serada, di sini, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai bertindak memeluk dan mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 9 malam.

Menurut sumber, perbuatan itu disedari mangsa yang terjaga dari tidurnya selepas merasakan tubuhnya dipeluk dan pipinya dicium seseorang.

“Sebaik tersedar, mangsa ternampak kelibat seorang lelaki amat dikenali melarikan diri keluar dari rumahnya.

“Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada keluarganya sebelum satu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber berkata, susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga Ahad lalu, suspek ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Banggol Katong di sini, kira-kira jam 3.30 pagi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.