DUNGUN - Beberapa jenis sayuran khususnya sayur hijau mengalami ketidakstabilan harga ketika musim tengkujuh disebabkan beberapa ­faktor.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Pasar Besar Paka mendapati peniaga tidak mengalami masalah bekalan ketika musim hujan atau banjir tetapi harganya tidak menentu.

Peniaga, Zaharah Jusoh, 74, berkata, bekalan sayuran ada tetapi keadaannya tidak seelok ketika musim biasa.

Menurutnya, ada sebahagiannya rosak akibat cuaca hujan dan harganya terpaksa dinaikkan.

“Bekalan ada dan biasanya kami ambil dari Kuantan. Tetapi musim hujan banyak bekalan yang sampai dalam keadaan sudah rosak. Kita kena pilih yang mana elok untuk dijual.

“Disebabkan itu harga terpaksa dinaikkan sedikit, contohnya harga sawi sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram tetapi sekarang meningkat kepada RM7,” ­katanya.

Zaharah yang sudah berniaga sejak lebih 35 tahun lalu berkata, situasi turun naik harga ketika musim tengkujuh adalah perkara biasa.

“Naik pun tak banyak dan pelanggan tidak merungut atau rasa terbeban. Biasanya sayuran hijau dan cili sahaja berlaku naik turun harga, sayur-sayur lain tidak berubah,” katanya.