DUNGUN - Pekebun di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS) resah apabila ladang kelapa sawit yang diusahakan diserang gajah liar sejak dua minggu lalu.

Gajah jantan dianggarkan berat melebihi satu tan tersebut memusnahkan tanaman diusahakan menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit.

Binatang liar tersebut dipercayai muncul dari kawasan Hulu Paka, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Disebabkan serangan itu, sebahagian besar tanaman pekebun mengalami kerosakan teruk akibat dimusnahkan gajah dipercayai mencari makan.

Pekebun, Awang Ibrahim, 66, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM20,000 apabila kira-kira 130 batang pokok kelapa sawit diusahakan sejak lima tahun lalu musnah akibat kejadian itu.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan kali pertama kerana kebunnya pernah menjadi sasaran sebelum ini.

“Gajah ni bukan sekali masuk ke kebun kami. Hari pertama kejadian cuma 60 batang pokok sahaja musnah dan keesokan hari bila kami pergi ke kebun, banyak lagi yang musnah.

“Luluh hati saya dan isteri bila lihat usaha kami selama lima tahun musnah.

“Nak memulakan semula semuanya mungkin kami tak mampu kerana kami sudah berhabis ribuan ringgit sepanjang mengusahakan kebun ini,” katanya kepada pemberita.

Pekebun khuatir keselamatan

Seorang lagi pekebun, Mohd Nawi Awang Bongsu, 66, turut mengalami kerugian besar.

“Saya  kerugian hampir RM10,000  apabila 20 batang pokok kelapa sawit musnah diserang binatang liar itu.

“Kami berharap pihak berkaitan ambil langkah sewajarnya membantu kami menyelesaikan masalah ini.

“Jika dibiarkan, kami akan berdepan kerugian lebih teruk,” katanya.

Tambahnya, bukan sahaja tanaman musnah tetapi keadaan itu dibimbangi mendatangkan bahaya kepada nyawa.

“Kita bimbang kejadian tidak diingini berlaku dan gajah ini boleh bertindak di luar kawalan.

“Sampai bila kami perlu berhadapan masalah ini sebab ini bukan kali pertama gajah merosakkan tanaman sebaliknya dah berlarutan sejak bertahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Perhilitan pantau lokasi

Warga emas itu turut berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil pendekatan sewajarnya berhubung masalah itu.

“Kita telah buat aduan dan berharap tindakan lebih serius diambil Perhilitan agar haiwan liar terbabit dapat ditangkap.

“Ia sekali gus mengelakkan kami terus menanggung kerugian akibat serangan gajah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Terengganu, Rahmah Illias berkata, pihaknya sedia maklum berhubung masalah tersebut dan sudah menerima aduan daripada penduduk pada 15 Disember lalu.

“Kakitangan Perhilitan Daerah Dungun sudah mengambil tindakan berhubung aduan yang diterima.

“Setakat ini, anggota kami sudah membuat pemantauan dan kawalan di lokasi terbabit,” katanya.