HULU TERENGGANU - Empat syarikat pemborong telur di negeri ini dikenakan notis tunjuk sebab oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kerana menaikkan harga telur.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, kesemua syarikat pemborong telur tersebut diarahkan menjawab notis berkenaan dalam tempoh tiga hari.

"Kesemua empat pemborong telur tersebut iaitu masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan Besut dikenakan Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan(AKHAP) 2011.

"Selepas menerima aduan berhubung kenaikan harga telur di negeri ini baru-baru ini, pihak kami telah jalankan pemeriksaan ke 93 premis perniagaan termasuklah di 16 syarikat pemborong utama.

"Masing-masing empat syarikat pemborong di daerah Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan Dungun. Hasil pemeriksaan mendapati berlaku sedikit kenaikan pada harga runcit dan borong sejak bulan lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di Pasar Besar Kuala Berang, di sini, hari ini sempena Operasi Bersepadu Bersama Agensi Penguatkuasa Negeri Terengganu.