MARANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang menangani 27 kes ular pelbagai jenis selepas banjir melanda daerah berkenaan mula surut.

Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Zabri Abd Razak, berkata, reptilia itu ditangkap pihaknya di kawasan kediaman penduduk di kawasan terjejas banjir di sekitar daerah sejak Selasa hingga malam tadi.

Menurutnya, selepas banjir mula surut, APM Marang menerima banyak aduan daripada mangsa banjir dan penduduk terjejas banjir berikutan penemuan reptilia berkenaan dalam kediaman mereka.

"Antaranya ialah ular sawa (kecil) dan ular tedung selar. Keadaan berlaku kemungkinan disebabkan habitat reptilia berkenaan di kawasan paya dan semak dinaiki air, ia mencari lokasi baharu.

"Aduan diterima bermula Selasa lalu sehingga semalam iaitu dalam tempoh lima hari selepas keadaan banjir semakin pulih dan surut," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Marang, hari ini.

Zabri berkata, tangkapan terbaharu ialah tedung senduk di Seberang Marang pada jam 10.30 malam dan tedung sembur di Gong Merchang pada jam 10.45 malam. Kedua dua kes berlaku malam tadi.

Menurutnya, pihaknya akan menyerahkan reptilia yang ditangkap berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Marang untuk tindakan selanjutnya.

"Kita juga mahu menasihati penduduk khususnya di daerah ini yang terlibat atau tidak dengan banjir supaya berwaspada terhadap haiwan terutamanya ular yang cuba berlindung di ruang tersembunyi.

"Langkah itu perlu bagi mengelakkan mereka daripada diserang haiwan berbisa itu ketika membersihkan rumah akibat hujan lebat atau rumah yang ditinggalkan untuk berpindah ke pusat pemindahan," katanya.