KUALA TERENGGANU - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu merekodkan 444 permohonan kebenaran nikah bawah umur kanak-kanak beragama Islam di negeri ini sejak Januari 2013 sehingga 20 Disember lalu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, daripada jumlah itu, 397 permohonan sahaja diluluskan, manakala selebihnya iaitu 28 permohonan ditolak dan 19 permohonan di tarik balik.

"Jumlah kanak-kanak yang terlibat adalah seramai 522 orang berbanding jumlah pendaftaran kerana terdapat kes yang melibatkan kedua-dua pasangan adalah kanak-kanak iaitu 39 kes manakala 405 kes permohonan salah satu pihak adalah kanak-kanak.

"Kanak-kanak perempuan yang berusia 15 tahun mencatatkan jumlah permohonan paling tinggi iaitu seramai 265 orang, diikuti kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun (155 ), kanak-kanak lelaki berusia 16 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun (40 ), kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun (12 ) dan paling sedikit melibatkan permohonan kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun (10 )," katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Kali Kedua Tahun 2018 di Bilik Gerakan, Bangunan Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Wan Mohd Zakri berkata, kebanyakan alasan diberikan pasangan bawah umur ini untuk berkahwin di usia muda terlalu 'klise' seperti suka sama suka, kad jemputan kahwin sudah dicetak serta diedarkan dan wali hendak pergi bercuti.

"Kita tidak akan meluluskan permohonan dengan alasan seperti ini dan pihak kami hanya meluluskan perkahwinan bawah umur ini dengan beberapa sebab tertentu selepas dipertimbangkan secara mendalam.

"Sebagai contohnya, pasangan itu sudahpun mengandung, atau bersalin serta terlanjur kerana sekiranya dibiarkan sudah tentu akan berlaku banyak perkara selepas itu dari segi anak di dalam kandung tersebut," katanya.

Jelas Wan Mohd Zakri lagi, daripada 439 kes yang diteliti, pasangan menggunakan alasan suka sama suka dilihat paling tinggi iaitu seramai 164 orang, diikuti alasan memang ingin berkahwin (88 ), hamil luar nikah (72 ), sudah terlanjur (39 ), untuk mengelak maksiat (33 ), ringankan beban keluarga (20), mempunyai masalah peribadi dan berhenti belajar (11) dan dirogol (seorang).

"Bagaimanapun, kita dapati permohonan yang diterima semakin berkurang dari tahun ke tahun dan kebanyakan permohonan dilakukan oleh pihak perempuan iaitu 311 orang berbanding lelaki 211 orang sahaja," katanya.

Dalam masa sama, Wan Mohd Zakri menegaskan, pihaknya akan mengekalkan had umur perkahwinan di negeri ini iaitu bagi lelaki 18 tahun dan ke atas manakala perempuan pula 16 tahun dan ke atas.