MARANG - Seramai 200 nelayan di Bukit Gasing, di sini, menerima keperluan dapur dalam usaha membantu mereka yang hilang pendapatan sepanjang musim tengkujuh melanda.

Pengarah program itu, Awi@Musa Salleh berkata, pemberian bantuan kepada golongan nelayan di kampung itu diharapkan dapat membantu meringankan beban golongan itu.

Menurutnya, walaupun sumbangan diberikan tidak mampu untuk menampung keperluan mereka sepanjang musim tengkujuh namun ia diharap dapat digunakan dalam tempoh terdekat ini.

"Seramai 200 penerima menerima sumbangan barang dapur. Kebanyakan mereka adalah nelayan. Ini bagi  meringankan beban kepada mereka semua yang tak dapat turun ke laut," katanya.

Majlis penyampaian bantuan diadakan sempena sambutan Hari Keluarga Bukit Gasing kali ke 19 yang disempurnakan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Bukit Gasing, Ismail Ibrahim.

Sementara itu, seramai 500 penduduk memeriahkan sambutan hari keluarga itu dengan pelbagai pengisian menarik termasuk acara sukaneka, cabutan bertuah dan pertandingan bola sepak.

Musa berkata, pelbagai acara sukaneka diadakan antaranya boling nyior, rebut kerusi, bawa bola ping pong dengan sudu dan tiup belon dan kemuncaknya adalah acara cabutan bertuah.

"Penganjur menyediakan hadiah seekor kambing sebagai hadiah utama cabutan bertuah dan haiwan itu dimenangi Nasir Jusof pada majlis penutup disempurnakan oleh Exco," katanya.

Menurutnya, penganjur juga mengadakan jamuan makan tengahari secara bergotong royong dengan menumbangkan dua ekor kerbau bagi meraikan penduduk di kampung itu.