PELABUHAN KLANG - Seorang wanita warga emas yang kurang upaya nyaris rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Pendamar Fasa 2 di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa yang berada di bilik tidur di bahagian belakang rumah teres setingkat itu diselamatkan anggota bomba yang ke lokasi sejurus menerima panggilan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Juyana @ Azlan Musa berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Andalas  ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.38 pagi .

"Pemeriksaan dapati sebuah rumah kelas A berkeluasan 40 x 75 kaki persegi hangus terbakar kira-kira 80 peratus.

"Terdapat seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an yang juga orang kurang upaya (OKU)  di dalam bilik belakang berjaya diselamatkan anggota bomba," katanya.

Mangsa kemudian diserahkan kepada unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk tindakan lanjut.