PUCHONG - Prihatin dengan nasib kanak-kanak yang masih belum membeli peralatan sekolah, Team Marhaen Puchong tampil memberi sumbangan kepada 55 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menerusi Program Jom Kembali ke Sekolah 2018, bukan sahaja kelengkapan termasuk pakaian, seluar, beg sekolah, kasut, pensil warna, pensil dan stokin disumbangkan malah anak-anak tersebut turut menerima wang saku dan beg berisi makanan.

Presiden Team Marhaen Puchong, Nur Farhana Abdul berkata, ia program kali ketiga dianjurkan pihaknya selepas pertama kali dianjurkan sejak tahun 2015 dan inisiatif itu dilaksanakan selepas menerima banyak permohonan bantuan pakaian sekolah.

"Pertubuhan kami memang tiada dana, syukur kerana ada seorang hamba Allah tampil membantu dan dengan sumbangannya kita agih kepada anak-anak kurang berkemampuan.

"Kami juga terima sumbangan daripada Jawatankuasa Maulidur Rasul Surau Al Madaniah  USJ 18 Tahun 2018 yang prihatin dengan nasib anak-anak ini. Kami beli beg sekolah dan lain-lain keperluan bagi membolehkan anak-anak kembali ke sekolah dengan senyuman yang indah meski hidup mereka kekurangan tak seperti orang lain ," katanya.