BATU CAVES - Selangor International Youth Extreme Festival (SIYEF) 2018 yang juga festival sukan lasak terbesar di Selangor bakal berlangsung buat kali kedua di Gua Damai, Batu Caves pada 29 hingga 30 Disember ini.

Festival sukan lasak itu anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dengan kerjasama Klasiko Event Management sebagai penganjur utama acara ini.

Festival ini turut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bunga Merah Gombak (BMG) dan Wira Adventure Consultant sebagai pendukung dan penggerak aktiviti sukan lasak di Malaysia.

Pengarah Urusan Klasiko Event Management, Hermy Rahim berkata, penganjuran festival berkenaan adalah inisiatif Menteri Besar, Amirudin Shari bagi menjadikan Selangor sebagai hab tumpuan bagi aktiviti sukan lasak serta pilihan utama belia Selangor khususnya.

"Fokus utama penganjuran adalah menarik minat belia terutamanya Selangor yang amat dahagakan festival seumpama ini diadakan.

"Festival ini juga dapat memupuk semangat kejiranan dan komuniti setempat di mana menjadi intipati sampingan festival ini diadakan.

"Selain ini juga, festival ini turut menganjurkan pertandingan futsal dengan menawarkan hadiah lumayan bagi pasukan-pasukan remaja malah Menteri Besar Selangor dijadualkan hadir bagi merasmikan penutupan festival ini," katanya menerusi kenyataan.

Pelbagai aktiviti sukan lasak menarik akan diadakan sepanjang dua hari seperti Abseiling, Rock Climbing, Jumaring, Slacklining, Tree Climbing, Paintball (Target Shoot) dan BMX yang dikendalikan pengelola berpengalaman serta berkemahiran bertaraf dunia.

Selain aktiviti sukan lasak, SIYEF 2018 juga menganjurkan sesi Social Media Gathering dan Instameet, yang dijangka mengumpulkan ikon media sosial termasuk Facebook, Twitter dan Instagram.

Pengunjung juga boleh menjamu selera di gerai-gerai jualan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor serta menyaksikan Pertandingan Barber Selangor, yang dijangka menarik perhatian para 'barber' mempamerkan kemahiran dan kebolehan mereka.