KAJANG - Penduduk dan peniaga pasar pagi Sungai Long berharap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan tapak pasar pagi yang bersesuaian dan kekal untuk mereka menjalankan urus niaga.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Lee Kek Keong berkata, 130 peniaga pasar bersetuju berpindah jika mereka diberikan tapak yang kekal untuk beroperasi.

“Kita bersedia berpindah jika ada tapak yang kekal dan bersesuaian untuk berniaga berbanding keadaan sekarang berniaga di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, beliau turut menerima aduan tapak sedia ada menimbulkan kesesakan jalan raya.

“Pelanggan juga akan lebih selesa parkir kenderaan di tempat ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sungai Long, Datuk Tan Boon King berkata, MPKj seharusnya mencari tapak yang sesuai untuk membina pasar pagi kekal memandangkan penduduk yang mendiami kawasan itu semakin bertambah.

“Kita telah memohon tapak pasar pagi yang kekal kepada MPKj sejak lima tahun lalu, kami berharap permohonan ini boleh diluluskan segera,” katanya.

Boon King berkata, penduduk tidak bersetuju dengan tapak dicadangkan untuk sementara sahaja.

“Kami juga difahamkan pasar pagi ini sudah tiga kali dipindahkan, kami berharap tapak pasar pagi baharu yang lebih teratur, bersih dan selesa kepada peniaga dan pelanggan,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, setakat ini tiada tapak kekal yang boleh disediakan untuk peniaga pasar pagi kerana tempoh berniaga mereka bukan 24 jam.

“MPKj telah mengarahkan peniaga pasar pagi untuk berpindah ke tapak disediakan berikutan aduan penduduk mengenai tapak sedia ada mengganggu aliran trafik di kawasan tersebut.

“Jika mereka masih berdegil untuk berpindah, MPKj berkemungkinan akan mengambil tindakan seterusnya mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, MPKj membuat keputusan itu dengan mengambil kira pandangan majoriti penduduk yang mahu tapak pasar pagi dipindahkan ke kawasan lebih sesuai.

“MPKj menyediakan tapak baharu itu bukan bersifat sementara namun bergantung kepada situasi semasa bagaimanapun pihaknya berusaha untuk menyediakan tapak yang lebih sesuai demi keharmonian penduduk di kawasan itu,” katanya.