KUALA LUMPUR - Mayat seorang warga Indonesia yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Batu berhampiran Masjid Abu Hurairah Batu 5 Jalan Ipoh petang semalam ditemukan jam 2.56 petang tadi.

Menurut sumber dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, mayat lelaki berusia 20-an itu ditemui terapung 1 kilometer dari lokasinya terjatuh.

Menurutnya, mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sebelum dibawa naik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam kejadian 5.25 petang semalam, empat lelaki warga Indonesia terjatuh ke sungai itu, namun tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri dan seorang daripadanya hilang.

"Seramai 16 anggota termasuk PPDA bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Hang Tuah ke lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan jam 10.51 malam tadi ]sebelum disambung bermula jam 8 pagi, hari ini.