SABAK BERNAM - Program Kapcai Mania Takluk Sabak Bernam yang dijadualkan esok hingga 30 Disember ini di Sungai Lang, di sini, tidak mendapat permit kebenaran.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pihaknya tidak mengeluarkan permit kebenaran terhadap penganjuran itu yang gagal memenuhi syarat.

"Pihak penganjur tidak dapat mengemukakan surat kebenaran atau pengesahan daripada 'Automobile Association of Malaysia (AAM) berhubung acara yang diadakan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganjur yang melanggar undang undang sedia ada.

“Penganjur program ini membuat permohonan permit kepada pihak polis pada 18 Disember lalu.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba meneruskan acara ini," katanya.

Sementara itu, penganjur menerusi laman sosial Facebook Kapcai Mania memuat naik status memaklumkam terpaksa menunda program berkenan.

"Kita terpaksa tunda disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan," katanya.