SABAK BERNAM - Kerajaan negeri diminta membantu menangani isu kelewatan pemberian bonus sebulan gaji kepada semua kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya akan memanjangkan perkara itu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Kita akan membawa perkara ini kepada Menteri Besar Selangor, (Amiruddin Shari) supaya perkara ini dapat disegerakan," katanya pada Program Back to School di pekarangan Pejabat Dun Sekinchan, di sini, hari ini.

Suee Lim yang juga Speaker Dun Selangor berkata, MDSB satu-satunya PBT di negeri ini yang masih belum membayar bonus sebulan gaji kepada kakitangan mereka sejak perkara itu diumumkan kerajaan negeri pada pembentangan Bajet Selangor 2019 lalu.

Bagaimanapun katanya, amalan pemberian bonus di negeri ini bergantung kepada kemampuan dan kewangan PBT masing-masing.

"Sekiranya PBT tersebut kurang berkemampuan mungkin (pemberian bonus) ditangguh atau tidak ada pemberian bonus.

"Dalam konteks MDSB, kita memang tahu mereka tidak berkemampuan dan cara yang terbaik melalui kaedah meminta bantuan daripada kerajaan negeri.

"Mungkin kerajaan negeri boleh membantu dengan cara memberi dalam bentuk geran," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha membantu MDSB untuk menjana hasil tambahan bagi menangani beban kewangan dihadapi PBT itu pada masa sekarang.

"Ini perkara pokok yang semua Ahli Majlis (MDSB) dan warga MDSB untuk memikirkan bagaimana soal kutipan tunggakan dan sebagainya ini dapat diperkasakan pada masa akan datang.

"Kita tidak mahu masalah sama terus berulang dan hasil pendapatan tidak bertambah," katanya.

Semua penjawat awam di negeri ini sepatutnya menerima sebulan bonus yang dibayar pada 20 Disember lalu.