KUALA LUMPUR - Sejumlah RM2.896 bilion diperuntukan menerusi rancangan Bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun hadapan merangkumi 58.5 peratus peruntukan mengurus dan 41.5 peratus untuk pembangunan.

Bajet bertemakan 'Kuala Lumpur Sejahtera, Harapan Warga Kota' itu adalah berteraskan Pelan Strategik DBKL 2010-2020 yang menekankan lima matlamat utama iaitu bandar raya milik warga kota, bandar raya makmur ekonomi, bandar raya bersaring, bandar raya eko dan bandar raya tadbir urus cekap.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM1.694 bilion diperuntukkan berbanding RM1.759 bilion pada tahun 2018 menyaksikan penurunan sebanyak 3.7 peratus ataupun RM65.5 juta.

Manakala di bawah peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM1.202 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, pembelian dan penggantian aset-aset modal. Peruntukan  ini meningkat sebanyak 4.9 peratus ataupun RM56.04 juta berbanding peruntukan pembangunan 2018 sebanyak RM1.146 bilion.

Bajet berkenaan diumumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, dalam Majlis Ucapan Bajet DBKL 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara utama yang diambil perhatian dalam Bajet 2019 bekenaan adalah untuk memastikan warga kota menikmati kesejahteraan kehidupan di bandar dalam bentuk persekitaran yang berkualiti, selamat serta gaya hidup yang sihat.

"DBKL berusaha untuk memastikan setiap program dan aktiviti yang dirancang mempunyai ciri-ciri realistik, kos munasabah, mencapai keperluan sebenar masyarakat dan memberi impak positif kepada warga kota serta mengikut kemampuan kewangan semasa selaras dengan prinsip 'value for money'.

"Perancangan tahun hadapan juga adalah berlandaskan visi dan misi DBKL untuk menjadi Pihak Berkuasa Tempatan terunggul bagi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia menjelang tahun 2020," katanya.

Nor Hisham berkata, intipati Bajet DBKL 2019 turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan kesinambungan 14 program utama sedia dalam perbelanjaan DBKL antaranya pembersihan bandar; penghijauan, penyenggaraan taman, tanah lapang dan kemudahan rekreasi serta jalan raya dan saliran.

Tambahnya, program lain juga termasuk lampu jalan dan kemudahan sistem lalu lintas; tempat letak kereta, hentian bas dan siar kaki; kesihatan; penguatkuasaan; penjaja dan peniaga kecil; kesejahteraan komuniti, pelancongan dan kebudayaan kesenian serta sukan.

 

"Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga kota terus menjadi keutamaan, terdapat peruntukan baharu berjumlah RM20 juta dalam Bajet 2019 bagi menguruskan perkhidmatan bas GO - KL kepada warga kota.

"Hal ini dapat membantu merancakkan pergerakan warga kota untuk pelbagai tujuan di seluruh Kuala Lumpur dengan kos yang minimum, di mana tiada caj tambang yang dikenakan untuk menaiki bas GO-KL ini.

“Bajet 2019 juga memperuntukkan RM800 ribu untuk pelbagai bantuan yang akan diberi kepada golongan gelandangan yang kurang bernasib baik," katanya.

Secara umumnya, anggaran Hasil 2019 dijangka menurun kepada RM2.465 bilion berbanding RM2.667 bilion pada 2018 iaitu penurunan sebanyak 7.5 peratus.

“Cukai taksiran yang dijangka berjumlah RM1.209 bilion merupakan hasil utama DBKL di mana menyumbang sebanyak 49 peratus daripada hasil keseluruhan DBKL.

“DBKL juga bercadang untuk tidak menaikkan kadar cukai taksiran ke atas pegangan harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malah DBKL akan terus mengekalkan insentif kepada pembayar cukai taksiran golongan OKU sebanyak 20 peratus seperti tahun ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, secara keseluruhan, Bajet 2019 merupakan Belanjawan Defisit di mana Anggaran Hasil DBKL dijangka hanya mempunyai lebihan sebanyak RM771.5 juta selepas mengambil kira perbelanjaan mengurus.

“Lebihan operasi ini tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan pembangunan DBKL yang berjumlah RM935.4 juta .

“Justeru, defisit sebanyak RM163.9 juta akan dibiayai oleh rizab kumpulan wang pembangunan,” katanya.