MUKAH - Seorang lelaki warga maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km52, Jalan Mukah-Selangau hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Juan Anak Lium, 66, dari Rumah Garuna, Sungai Temesu, Mukah.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari dan siasatan awal mendapati mangsa keluar dari simpang di jalan itu secara tiba-tiba sebelum dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda tersebut yang dalam perjalanan dari arah Mukah ke Selangau.

  "Pemandu berusia 61 tahun itu tidak sempat memberhentikan kenderaannya berikutan jarak yang sudah terlalu dekat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat, katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama