SIBU - Pengguna jalan raya yang hendak ke Bintulu dari Sibu dan sebaliknya diminta menggunakan laluan alternatif pesisiran pantai Selangau-Mukah-Kuala Tatau-Simpang Jepak selepas laluan di KM49 Jalan Bintulu-Sibu terputus akibat tanah runtuh, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar Ismail Mahedin berkata, kejadian tanah runtuh tersebut bermula pada bahu jalan pada 4.39 petang.

“Pada 4.45 petang, hanya satu lorong sahaja yang boleh dilalui dan jalan itu terputus serta ditutup sepenuhnya pada 6 petang,” katanya sambil menambah lokasi kejadian adalah kira-kira 24km dari Pekan Tatau menghala ke Bintulu.

Menurut beliau, pihak kontraktor pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo kini sedang giat membina jalan lencongan sementara untuk memulihkan aliran trafik di jalan tersebut.

Lencongan sementara satu lorong itu katanya hanya akan dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

Pembina lebuh raya itu, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) turut  menguar-uarkan kejadian itu kepada  orang ramai melalui laman Facebook Pan Borneo Highway Sarawak lewat petang tadi.

Syarikat itu menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati  memandu apabila melalui jalan itu.- Bernama