BETONG  – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM40 juta bagi kerja menyukat  tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pada tahun depan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri, berkata, peruntukan itu adalah sebagai lambang ingatan muhibbah kerajaan negeri untuk  membantu  pemilik tanah NCR di negeri ini.

"Kita mempunyai kelainan dan kerumitan seperti tanah NCR… kemudian isu berkaitan seperti ’pemakai menoa’ (domain wilayah) dan ’pulau galau’ (hutan simpan komunal),” katanya pada majlis bertemu rakyat di Rh Entiggan di Munggu Gernis, Spaoh di sini hari ini.

Beliau berkata, oleh itu, syor yang dikemukakan seorang menteri persekutuan baru-baru ini agar satu kanun tanah kebangsaan secara tunggal diwujudkan, adalah tidak praktikal.

Menyentuh tentang isu tanah, Uggah mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan catatan yang sering tersiar dalam media sosial bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mengambil tanah masyarakat bumiputera bagi melaksanakan projek pembangunan, tanpa memberi pampasan sewajarnya.

"Nampaknya, ada orang tertentu, yang saban hari hanya sibuk mengkritik kerajaan serta  pemimpinnya…Mereka akan cari kesilapan atau isu dan sekiranya tiada, mereka akan mengada-adakannya, semata-mata untuk menggembirakan diri masing-masing," kata beliau. - Bernama