KUCHING - Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan semula projek Transit Rel Ringan (LRT) terutama di Kuching dan Kota Samarahan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Saya menangguhkan projek LRT selepas mendapat bantahan daripada pihak tertentu tetapi sekarang mereka mahu projek tersebut dilaksanakan semula dan justeru, kita mungkin mempertimbangkan untuk melaksanakannya jika keperluan itu timbul," katanya.

Ketua Menteri berkata LRT merupakan satu daripada pilihan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutama di kawasan yang dapat dengan penduduk seperti di Kuching dan Kota Samarahan.

Abang Johari berkata kesesakan lalu lintas terutama di Kota Samarahan sangat teruk apabila pekerja terpaksa keluar rumah seawal jam 5.30 pagi dan tiba di tempat kerja pada jam 8 pagi walaupun jarak laluannya singkat

"Ketika kita sudah maju, pengangkutan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pencemaran udara di kawasan bandar dan bandar raya.

"Oleh itu, untuk mengatasi degradasi kualiti udara, antara pilihan untuk mitigasi adalah LRT, bas menggunakan bahan api hidrogen, kenderaan bermotor elektrik; dan kenderaan biofuel, "kata beliau pada Malam Penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri (CMEA) Sarawak ke-8 di sini malam ini.

Mengenai bandar lestari, Abang Johari berkata bandar di Sarawak kini dikenali sebagai bandar yang bersih dan sihat tetapi menambah ia mungkin tidak berkekalan selagi bandar-bandar tersebut erkembang dengan kadar pesat.

"Kita telahpun menghadapi masalah kesesakan lalu lintas, penjanaan sisa pepejal sisa, dan pertumbuhan pesat penduduk bandar.

"Oleh itu, kita perlu menangani cabaran-cabaran ini sebelum ia menjadi masalah besar bagi kita. Untuk menanganinya, kita perlu secara serius melaksanakan bangunan-bangunan lestari.

Beliau berkata walaupun Sarawak sudah mempunyai bangunan Sarawak Energy Bhd yang diperakui sebagai bangunan lestari tetapi cabarannya ialah untuk pemaju hartanah melaksanakan pembangunan lestari atau bangunan mampan termasuk reka bentuk, struktur dan aplikasi proses yang mesra alam sekitar dan kecekapan sumber sepanjang kitaran hayat bangunan. - Bernama