KOTA KINABALU - Jawatankuasa Anti Rasuah Sabah bakal ditubuhkan sebagai komitmen berterusan memperhebat program memerangi gejala itu, sekali gus memastikan negeri ini bebas rasuah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Sazali Salbi.

Sazali berkata penubuhan jawatankuasa anti rasuah itu kelak akan menjadi platform bagi menyebarluaskan mesej memerangi rasuah, seterusnya memperkasa kesedaran masyarakat di setiap daerah di Sabah mengenai jenayah berkenaan.

Justeru, satu mesyuarat akan diadakan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan bagi membincangkan cadangan penubuhan jawatankuasa anti rasuah berkenaan pada 11 Disember ini, katanya.

"Cadangan penubuhan jawatankuasa anti rasuah peringkat negeri akan menjadi inti pati utama perbincangan pada mesyuarat itu. SPRM berharap ia dapat diwujudkan, dan daripada situ jawatankuasa sama dapat ditubuhkan di setiap daerah.

"Jawatankuasa itu antara lain akan dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri selain dianggotai oleh setiausaha tetap kementerian di Sabah termasuk pegawai daerah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 (HAPA 2018) peringkat negeri, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, disertai seramai 400 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk dari Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah.

Sazali berkata HAPA 2018 yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu disambut serentak di seluruh negara bertujuan mendekati dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang gejala rasuah ke arah melahirkan masyarakat berintegriti tinggi.

Di Sabah, Sazali berkata, program walkabout HAPA 2018 dilaksanakan dengan kerjasama pelajar IPT terbabit yang memainkan peranan bertemu masyarakat di sekitar bandaraya Kota Kinabalu dan memberi penerangan kepada mereka untuk bersama-sama SPRM memerangi rasuah.

Sazali berkata SPRM turut bercadang memperluas program walkabout HAPA ke setiap daerah di Sabah pada penganjuran akan datang.

Dalam pada itu, tahap kesedaran masyarakat di negeri ini terhadap pentingnya membanteras gejala rasuah dilihat semakin meningkat apabila wujud sokongan berterusan selain kerjasama dalam menyalurkan maklumat serta aduan berhubung gejala itu, katanya.- Bernama