TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 14,300 bungkus rokok pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup masuk di kawasan pantai Batu 6, Jalan Apas, di sini semalam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata anggota yang bertugas dalam Ops Landai Khas terserempak beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah kotak serta bungkusan plastik ke dalam sebuah van pada 11 malam di tepi pantai berkenaan.

"Kesemua lelaki tersebut bertindak melarikan diri ke arah semak bakau selepas anggota PPM memperkenalkan diri sebagai polis," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di dalam van menemukan kotak dan plastik berisi rokok seludup.

Mohamad Pajeri dalam pada itu memohon kerjasama masyarakat supaya dapat menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan sebagai membantu mencegah aktiviti penyeludupan barangan tidak bercukai ke Sabah.- Bernama