KUCHING - Polis Daerah Kuching berazam untuk membanteras habis-habisan kegiatan perjudian haram dalam talian melalui Op Dadu, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ng Ah Lek.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah membuat 72 serbuan ke atas premis-premis perjudian haram dalam talian dan berjaya membuat 117 tangkapan setakat ini di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Katanya melalui Op Dadu yang dilancarkan pada 1 Januari lepas, 26 premis perjudian haram terbabit telah dipotong bekalan elektriknya dengan kerjasama pihak Syarikat SESCo.

“Ini menunjukkan usaha gigih dan keazaman kita untuk membanteras dan membasmikan kegiatan judi haram, khususnya di daerah Kuching,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPD Kuching di sini hari ini.

Mengenai penipuan skim cepat kaya, khususnya Macau Scam, Ng berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 23 kes atau 46 peratus sehingga 30 November ini berbanding sepanjang tahun lepas.

Katanya, sebanyak 42 kes dilaporkan sehingga 30 November tahun ini berbanding hanya 19 kes pada tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat pihak atau individu yang cuba untuk menipu mereka.

Beliau meminta supaya mangsa segera melapor kepada pihak polis jika menerima panggilan daripada orang yang mencurigakan dan jangan mudah percaya kononnya mereka wakil dari mana-mana jabatan kerajaan, termasuk kononnya mereka pegawai dari Bank Negara. - Bernama