LABUAN - Sebuah pasar raya besar dan kedai coklat bebas cukai di sini antara  premis yang dikenakan amaran keras setelah gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana didapati menjual produk yang tamat tempoh dan kemik yang tidak selamat untuk dimakan.

Dalam operasi bersepadu oleh Jabatan Kesihatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Perbadanan Labuan hari ini, tujuh premis diperiksa dengan 77 jenis barangan  bernilai RM504.52 dirampas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari ketika ditemui pemberita selepas mengetuai operasi itu di sini berkata, pihaknya mendapati ada juga beberapa peniaga yang tidak mematuhi peraturan pelabelan sehingga mengelirukan pengguna.

Katanya, sebanyak 3,986 produk makanan dirampas sejak 2014 hingga kini dengan produk tamat tempoh paling banyak dirampas diikuti produk yang rosak. - Bernama