LABUAN - Ops Samseng Jalanan yang dilancarkan oleh polis Labuan sekitar sini sejak malam tadi sehingga awal pagi ini menyaksikan 25 motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan, dan lima penagih dadah ditangkap.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata 60 penunggang motosikal diperiksa dalam sekatan jalanraya yang diadakan di lapan lokasi di sini antara pukul 10.30 malam dan 5.45 pagi ini, dalam operasi yang melibatkan 73 anggota dari pelbagai jabatan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Beliau yang mengetuai operasi itu berkata 45 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan berkaitan trafik, antaranya adalah memandu tanpa lesen, tanpa cukai jalan, tanpa insurans, tanpa cermin sisi, ubahsuai kenderaan, ubahsuai nombor plet dan sebagainya.

“Operasi dijalankan sebagai respons kepada kebimbangan penduduk setempat mengenai kegiatan lumba haram, dan usaha berterusan kami untuk membanteras samseng jalanan,” katanya.- Bernama