KUCHING - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa dalam dua insiden mangsa jatuh ke dalam sungai diteruskan pagi ini.

Bagi kes mangsa jatuh ke dalam sungai di Jambatan Pengkalan Perahu Tambang Kabong, Saratok pada 23 Dis lepas, gerakan mencari hari kelima diteruskan pagi ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihak bomba membuat pencarian menyusuri sungai dengan radius pencarian sekitar lapan kilometer menghala ke Pantai Tanjung Kembang dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dan di Muara Paloh.

Mangsa ialah kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) dikenali sebagai Nur Syahadah Fatihah Iman, berusia 10 tahun.

Operasi berkenaan melibatkan empat anggota bomba dengan sebuah bot, empat anggota polis bersama sebuah bot, lima anggota Rela dengan sebuah bot, tujuh anggota CERT Kabong dengan sebuah perahu serta 50 penduduk tempatan menggunakan 13 perahu.

Manakala gerakan SAR hari keempat warga India berumur 20 tahun, yang jatuh dari atas kapal di Tanjung Kunyit Sibu pada 24 Dis lepas, juga diteruskan pagi ini dengan pencarian sekitar radius tiga kilometer ke hulu dan hilir sungai. - Bernama