SIBU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun telah disembur seekor ular tedung hitam dengan bisanya ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah keluarga beliau di Jalan Aping Lorong 1, Estet Perumahan Hui Huang di sini petang ini.

Kejadian berlaku kira-kira 1.32 petang setelah ular sepanjang satu meter yang dikenali sebagai ‘ular belalang’ dalam bahasa Iban itu memasuki rumah tersebut.

Terkejut dengan semburan ke bahagian muka dan mengenai matanya, kanak-kanak itu terus mendapatkan ibunya yang sedang solat di dalam sebuah bilik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (PGO) berkata, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kejadian, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi untuk memberi bantuan.

Menurut jurucakap tersebut, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik dari Hospital Sibu namun tidak menyatakan tahap kecederaan yang dialami mangsa dan kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Ular tedung terbabit telah berjaya ditangkap dan dilepaskan semula ke habitat asal. - Bernama