LAHAD DATU - Penduduk Lahad Datu kini boleh memberi maklumat dan aduan langsung kepada polis di daerah ini menerusi talian aplikasi WhatsApp di 019-2186984.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, penyaluran maklumat melalui aplikasi itu merupakan antara langkah yang dilaksana polis untuk mencegah jenayah serta dapat mendekati masyarakat.

"Masyarakat boleh menyalurkan apa-apa maklumat ke nombor WhatsApp ini selain menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Nasri mendedahkan operasi yang dijalankan pihaknya di Kampung Puyut Jalan Pantai di sini semalam membawa kepada rampasan sepucuk pistol serta 28 butir peluru.

"Dalam kejadian 7.45 petang itu, polis terserempak seorang lelaki mencurigakan di atas jambatan, sedang mengeluarkan bungkusan dari dalam bajunya dan meletak bungkusan itu di atas lantai kaki lima di sebuah kedai runcit.

"Polis yang mahu memeriksa suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri dan sempat berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum suspek meloloskan diri dengan terjun ke laut," katanya dan menjelaskan pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut menemui pistol dan peluru hidup.

Nasri berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai Pala'u dan berusia 30 tahun.

"Setakat ini suspek masih diburu dan setakat ini tiada maklumat bahawa suspek terlibat dengan pengganas," katanya lagi.

Pala'u dikenali sebagai 'gipsi laut' kerana hidup secara nomad di lautan dan tinggal di dalam perahu, selain tidak diakui sebagai rakyat Filipina atau Indonesia. Majoriti masyarakat ini kini dikesan menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan. - Bernama