IPOH - Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kejadian kebakaran yang mengorbankan enam nyawa di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Puncak Jelapang 3, kawasan perindustrian Jelapang Maju, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya.

"Kesemua saksi terlibat telah dirakamkan keterangannya dan polis sedang melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan.

"Dalam sehari dua lagi, kertas siasatan akan diminit ke DPP. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dan hanya menunggu arahan daripada DPP," katanya.

Selasa minggu lalu, Empat daripada enam mangsa yang ditemui rentung adalah pelajar yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah.

Mereka adalah Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16 dan Ahmad Faizal Aminuddin, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu yang juga rakan baik dan tinggal di Kampung Seri Aman, Menglembu.

Turut terkorban, seorang lagi rakan mereka, Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, yang sudah bekerja selama dua tahun dengan syarikat pengaturcara majlis, sementara seorang lagi, pemilik syarikat, P Thiagarajan, 40.

Ketika kejadian jam 1.50 petang itu, kesemua mangsa berada di tingkat atas bangunan untuk membuat persiapan sambutan Tahun Baru.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung kes ugut lelaki bergelar Datuk hingga kenderaannya ditembak dua lelaki bermotosikal di Taman Meru 2B, semalam.

"Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan masih diteruskan," ringkasnya.

Dalam kejadian jam 6.56 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun turut menerima nota ugutan bertulis 'nyawa terakhir' selepas menunaikan solat Subuh di surau berhampiran.

Bagaimanapun, dia terselamat apabila dua suspek terbabit hanya menembak pada kenderaannya ketika dia sedang melangkah masuk ke dalam restoran berhampiran untuk bersarapan.