IPOH - Sejumlah 24,469 pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Perak bakal mendapat manfaat daripada Bantuan Musim Tengkujuh oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bekata bantuan sebanyak RM600 seorang itu membuktikan keprihatinan kerajaan PH terhadap kesulitan dihadapi pekebun kecil dan penoreh yang terjejas semasa musim tengkujuh.

“Saya juga menyokong penuh langkah Kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari 2019.

"Langkah Kerajaan Persekutuan ini pelengkap kepada beberapa Inisiatif kerajaan negeri dalam meringankan bebanan rakyat yang memerlukan terutama ibu bapa yang sedang membuat persiapan untuk sesi persekolahan 2019," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM164,783,400 sebagai bantuan kepada 274,639 pekebun kecil getah Risda yang akan dibayar dalam dua peringkat iaitu RM300 pada penghujung tahun ini dan baki RM300 lagi pada awal tahun depan. - Bernama