IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak diminta memantau harga kasut sekolah berwarna hitam selepas terdapat aduan daripada ibu bapa mengenai kenaikan harga yang tidak munasabah.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak, Datuk Rosli Yang Danian berkata, ada segelintir peniaga menjual kasut hitam lebih mahal dari kasut putih dalam jenama yang sama walaupun penguatkuasaannya dimaklumkan pada 2020.

"Jadi saya berfikir KPDNHEP perlu melihat perkara ini dan memantau kerana laporan yang diterima kami dilihat membebankan ibu bapa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Rosli turut menasihati ibu bapa agar tidak panik kerana mereka masih mempunyai pilihan untuk membeli kasut putih kerana penggunaan kasut hitam akan dikuatkuasa sepenuhnya pada 2020.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Kuala Kangsar, berharap perkara tersebut dipantau pihak berkuasa agar tidak membebankan ibu bapa.

Pengerusinya, Ahmad Hishamuddin Abdullah berkata, kebanyakkan pelajar sekolah itu telah mendapat bantuan Back To School dari Yayasan Perak, Baitulmal Perak dan parti politik PH.

"Kami tidak menerima rungutan dari ibu bapa pelajar sekolah berkaitan harga kasut kerana ramai daripada mereka menerima bantuan Back To School dari pelbagai pihak.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan untuk persiapan sekolah tahun 2019," katanya.