IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak sehingga kini masih belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan sebarang item kelengkapan persekolahan, termasuk harga kasut sekolah hitam.

Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pihaknya bagaimanapun sudah membuat pemeriksaan di beberapa premis menjual peralatan sekolah seperti baju, kasut, alat tulis dan sebagainya sebelum ini.

Menurutnya, inisiatif awal itu dibuat bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan menyekat peningkatan harga melampau.

"Kita belum lagi menerima sebarang aduan berkenaan kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah terutama kasut hitam kemungkinan disebabkan harga peralatan sekolah terbabit tidak dikawal KPDNHEP.

"Namun, jika kita mendapati ada peniaga barangan sekolah mengambil kesempatan seperti mencatut iaitu mengambil keuntungan berlebihan ketika sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil,"katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Saifullizan berkata, pengguna terutama golongan ibu bapa dinasihatkan supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna ketika membeli.

Menurutnya, mereka juga diminta segera membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat peniaga yang tidak beretika dan tidak mematuhi undang-undang.

"Di samping itu, peniaga hendaklah memastikan penandaan harga dibuat pada harga barangan termasuk barangan keperluan sekolah di bawah Perintah Kawalan Harga Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit 1993," katanya.